Cerita Pendek: Kunci Membuka Pintu Sungai

Nama aku Tina Kartina Zakiah binti Abu Hassan Shaari. Mak dan Abah panggil aku Ayong, kawan-kawan aku panggil aku Muna, tapi kamu semua panggil aku Siti je. Umur aku 18 tahun. Aku berasal dari Batu Gajah, Perak. Sejak kecil aku bercita-cita mahu menjadi anggota polis, ketika mendapat keputusan UPSR, aku tidak lagi mahu menjadi polis. Melangkah ke alam sekolah menengah, aku bercita-cita mahu menjadi seorang cikgu atas desakan mak.

“Kamu nanti kerja cikgu, senang, budak-budak cuti sekolah, kamu pun cuti jugak, beranak nanti senang cuti, gaji jalan.”

Tapi cita-cita itu tidak bertahan lama, setelah mendapat keputusan PMR aku mempunyai impian untuk menjadi seorang Usahawan Wanita. Aku tidak memberitahu mak tentang impianku ini. Aku takut mak akan cuba memadam impian itu. Lalu aku menyimpan impian itu di dalam kotak kayu kecil dan aku letakkan kotak itu di dalam laci meja di bilikku. Impian itu aku jaga dengan baik di mana aku telah membeli mangga (bukan buah mempelam) lalu mengunci laci itu dan kuncinya aku buang ke dalam sungai supaya tidak ada yang menjumpainya kerana aku takut impian itu akan musnah sekiranya ada yang menjumpai kunci itu.

Setelah aku mendapat keputusan SPM, aku pulang ke rumah dengan hati yang riang. Aku bernyanyi-nyanyi kecil. Sampai sahaja di rumah, aku terus meluru masuk ke dalam bilik. Aku mahu memeriksa impian yang aku simpan itu. Adakah ianya masih elok? Adakah ianya masih sama seperti dulu? Hati aku seronok benar ketika itu.

“Yes! Kini tidak ada siapa yang akan dapat mencuri impian ini.” ucapku separuh menjerit sambil membuka tudung sekolahku dan mencampakkannya ke atas katil dengan ganas.

Aku menyeluk poket baju sekolahku untuk mengambil kunci mangga (masih lagi bukan buah mempelam) yang aku simpan. Senyuman di bibir kian hilang pabila aku tidak menjumpai kunci itu.

“Ah mana pulak perginya kunci ni.” aku gabra.

Aku membuka baju sekolahku lalu aku kibas-kibaskannya kerana mungkin kunci itu terselit di sebalik benang-benang bajuku. 5 minit berlalu, kibasan baju sekolahku mulai perlahan dan terhenti. Aku terduduk di atas katil dan hampir menangis. Aku membaringkan badanku di atas katil sementara kakiku tergantung di birai katil. Tangan kiri ku angkat lantas aku letakkan ke atas dahi sambil mata merenung siling rumah. Otakku ligat berfikir.

“Mana ya. Aduh. Mungkin ada pada mak.”

Lantas aku bingkas bangun dari katil dan berdiri berjalan menuju ke ruang tamu untuk mendapatkan mak yang sedang menonton sinetron Indonesia di televisyen. Langkahku terhenti…

“Eh, tak mungkinlah ada pada mak, kan aku dah buang kunci itu ke dalam sungai, tak ada siapa akan jumpa punye.”

Suasana menjadi senyap. Senyap sesenyapnya. Hanya kedengaran suara pelakon Indonesia dari ruang tamu.


………


Nama aku Tina Kartina Zakiah binti Abu Hassan Shaari. Mak dan Abah masih memanggil aku Ayong, kawan-kawan masih memanggil aku Muna, dan kamu semua panggil aku Munirah je. Kini umur aku sudah 30 tahun. Aku sudah berkahwin. Suami aku Zakwan Muslim Nastaim bin Sufian Baharudin. Dia seorang anggota polis dan merupakan anak sulong kepada cikgu Matematik ku ketika di sekolah menengah dahulu. Aku bertemu Zakwan Muslim Nastaim ketika aku lemas di sungai 12 tahun yang lalu. Dia yang menyelamatkan aku. Lalu kami bercinta dan berkahwin 5 tahun selepas itu. Kami dikurniakan dua cahaya mata yang hebat, Amar Aizat Mustaqim bin Zakwan Muslim Nastaim dan Amira Azura Mastura binti Zakwan Muslim Nastaim. Aku sangat bahagia.

Aku seorang jururawat di sebuah hospital besar di Johor. Aku juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual topup di hospital. Rakan-rakan di hospital memanggil aku Muna Topup. Ketika waktu lapang, aku dan suami, Zakwan Muslim Nastaim bin Sufian Baharudin selalu membawa anak-anak kami mandi sungai dan berkelah. Kami sangat gemarkan sungai solah-olah sungai membawa seribu erti dalam keluarga kami. Entah la.

Suatu hari ketika Amar Aizat Mustaqim bin Zakwan Muslim Nastaim mandi sungai….

“Ibu! Ibu!” jerit Amar Aizat Mustaqim bin Zakwan Muslim Nastaim.

Aku yang sedang bermain percik-percik air sungai dengan suamiku, Zakwan Muslim Nastaim bin Sufian Baharudin pergi menghampiri Amar Aizat Mustaqim bin Zakwan Muslim Nastaim.

“Ibu, Amar Aizat Mustaqim ada jumpa  benda ni ibu waktu Amar Aizat Mustaqim menyelam tadi.” kata Amar Aizat Mustaqim bin Zakwan Muslim Nastaim kepadaku lalu menghulurkan benda itu ke tanganku.

Aku merenung benda tersebut lalu terdiam. Lama aku terdiam……….

“ Hiyahhhhhhh!” jeritku sekuat hati lalu aku campakkan semula kunci itu ke dalam sungai.


………


Suamiku Zakwan Muslim Nastaim bin Sufian Baharudin menguatkan volume radio yang memutarkan lagu kegemaran kami berdua, Wrecking Ball nyanyian Miley Cyrus. Kami menyanyi mengikut lagu itu sambil tangan kananku mengusap perutku. Amir Azidi Mukhsin bin Zakwan Muslim Nastaim bakal lahir tak lama lagi. Kami bahagia.