Kali Pertama: Teman Sebilik ku Ada Empat Kesemuanya

Auni ada utarakan dua proposal di medium sosial Whatsapp beberapa hari lepas.

“Every year kita kena buat gathering, pergi holiday sama-sama.”

“Kita buat anniversary every 26th June jom, sebab kita diletakkan bersama 26th June kan.”

Well. Aku cakap…

“Kita kena umumkan cuti umum bermula 24th June sampai 26th June.”

24th June birthday aku, jadi apa salahnya aku sebagai anak raja untuk umumkan cuti umum sempena Hari Keputerian Ida. Takde hal lah.

Auni membantah…

“No no no. Cuti umum start 24th June sampai 2nd  July ah, sekali birthday aku.”

Auni lahir 1st July, jadi takde hal lah. Kami memang anak raja.

……

Auni. Ima. Lin.

Merekalah orang-orang yang memberi aku pengalaman pertama memiliki teman sebilik atau lebih comel digelar the roommates! Sejak sekolah aku tak pernah tahu apa rasanya ada teman sebilik, sebab aku memang tak pernah masuk asrama. Jadi sebab tu aku tak pernah update blog pasal ‘amukan hantu asrama’ atau ‘budak katil atas di rasuk lagi’ atau ‘Cikgu Jamil @#$%^$##% rampas handphone gue’ atau ‘senior babi’.

Sejak mendapat surat tawaran sambung belajar di UiTM Merbok, aku begitu teruja. Teruja tentang segala-galanya.

“Yes! Boleh ah keluar melampaui batas lepas ni.”

“Yes! Yes! Boleh ah cari ‘bakal penyimpan syurga aku’ lepas ni.” Lerr.

“Yes! Yes! Yes! Boleh ah pergi study kat library lepas ni.”

“Yes! Yes! Yes! Yes! Boleh ah terlanggar seorang jejaka yang sedang membawa buku-buku lalu sama-sama terhantuk kepala ketika sama-sama tunduk mengutip buku-buku yang jatuh lalu jatuh cinta dari kerana mata turun ke hati lalu mengulangkaji pelajaran di taman bersama-sama lalu indah semuanya lalu muncul perempuan seksi yang kaya lalu mengganggu hubungan sucinya percintaan lalu percintaan terputus kerana tidak direstui ibu bapa jejaka yang kaya lalu kedua-duanya putus harapan lalu kedua-duanya gagal peperiksaan lalu kedua-duanya mati.”

Mengjengkelkan.

…..

Aku tak pandai bergaul, aku takut untuk cuba bergaul. Sebab aku takut yang aku akan dimakan. Dari dulu sampai sekarang, cuma sekarang takde la seteruk dulu.

Masa mula-mula menjejakan kaki di UiTM Merbok, Lin adalah orang pertama yang aku jumpa kat parking lot. Masa tu tak tahu lagi yang dia akan menjadi teman sebilik dengan aku lalu aku cuba berlagak di depan Lin dan keluarga.

F1-04-04. Tingkat 4 dengan memakai baju kurung hijau pekat dan bertudung bawal hitam aku menarik luggage sebesar tempat duduk penumpang kereta kancil di belakang. Dengan peluh menitis-nitis tap..tap..tap (bunyi peluh) umpama air terjun pengantin aku sampai ke bilik. Lalu…

“Eh. Ni budak kat parking bawah tadi.” bisik hati kecilku.

Selesai sesi pengenalan diri, rupa-rupanya aku dan Lin serupa, kami sama-sama telah kematian Abah, bertambah serupa bila rupa-rupanya Lin dan aku mengambil jurusan yang sama, Pengajian Perniagaan. Aku turun kembali ke bawah untuk makan tengahari terakhir bersama mak dan keluarga. Kami menikmati makan tengahari terakhir di Tanjung Dawai.

“Nak beli ikan masin tak makan dalam bilik?” tanya mak dengan diselitkan sedikit lawak jenaka.

Aku cuba menahan ketawaku kerana di waktu itu walau selawak mana pun lawak itu, tetap air mata yang bakal mengalir. Sedih kot nak berjauhan dengan keluarga, first time pulak tu. Aku berlagak sejuk (cool).
Selesai peluk cium dan sesi pesanan-pesanan terakhir misalnya…..

“Jage diri elok-elok, solat jangan lupe, rajin-rajin le pergi bentang sejadah kat mesjid.”

“Belajar rajin-rajin, perikse bior nombor satu.”

“Duit jangan habis, jangan beli bukan-bukan, jangan beli topak (topup) je, jangan merayau.”

“Kawan elok-elok, jangan gaduh-gaduh, kongsi ikan masin tadi dengan kawan.”

“Makan jangan banyak, nanti gemuk.”

Aku naik semula ke bilik untuk mengemas barang. Aku chop katil bawah, dan sampai je ke bilik, aku tengok katil kat atas aku dah ada bagasi-bagasi. Milik Auni, tapi Auni keluar ketika tu, jadi aku hanya dapat berkenalan dengan bagasi-bagasi Auni sahaja dahulu.

Aku mengemas barang-barangku dengan malu kerana Lin sedang berbaring di atas katilnya dengan muka bertutup sapu tangan.

“Nangis le tu.” ejekku sambil mengesat sisa air mata di pipiku.

Suasana bilik sunyi, aku mengeluarkan penyangkut baju yang telah di tanda oleh mak dengan menulis namaku di setiapnya. Mak tiada pengalaman menjaga anak yang bersekolah asrama, jadi, aku paham.

“Ni kene tande ni, takut hilang tertuko dengan kawan.” ujar mak.

Mak menyambung, “Sepende pun tanda, nanti hilang mak taknak beli dah.”

Dek kerana takutkan aku tidak bersependa kerana mak taknak belikan sekiranya sependa hilang, aku menanda sependa dengan benang kuning. Gila.

Tok..tok..tok (bunyi pintu di ketuk tiga kali)

Haa. Masa ni lah aku kenal Ima. Ima masuk ke bilik dengan membawa tilam nipis berlipat lalu bersalamanlah kami. Ima tiada pilihan selain memilih katil di atas Lin. Ima budak KL, ini telah menambahkan lagi ketakutan aku untuk bergaul.

“Nak guna korang dengan kitorang ke ha. Alaaa.” bisikku kepada aku.

Aku asal dari Gerik, Perak, sememangnya pergaulan aku dan kawan-kawanku di Gerik hanya berlandaskan ‘hang’, ‘aku’, ‘kami’, ‘deme’, ‘hangpe’ sahaja, melainkan mereka yang kononnya berdarah KL. Oh lupa, Lin orang Perak jugak, ini menjadikan faktor serupa kami telah bertambah satu lagi, iaitu negeri kelahiran. Lin membahasakan dirinya ‘kami’ tapi sekarang dia sudah pandai membahasakan dirinya sebagai ‘lin’.

Berbalik kepada Ima, setelah beberapa hari bersama, Ima menggunakan ‘hang’, ‘hangpa’, ‘depa’ dalam perbualan. Oh, rupa-rupanya mak Ima asalnya dari Taiping, Perak. Kerisauan aku mula berkurang.
Auni, sewaktu Auni masuk ke bilik semula, Ima pula keluar. Jadi Ima dan Auni belum lagi berpeluang berkenalan di waktu itu. Auni memakai spek, typical budak-budak cerdik. Kerisauan mula menghantui aku….

“Aduh. Mesti poyo budak ni, study je 24 jam le ni, macam mane ni.” hatiku kembali mengadu.

Auni berasal dari Sik, Kedah. Auni sering menggunakan perkataan ‘entah’ di setiap petanyaannya. Misalnya….

“Nama apa entah?”

“Dah makan belum entah?”

Entah la….

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun…. Aku sudah dapat membiasakan diri dengan teman-teman sebilik. Kami sudah mula tidur di lantai berempat, kami sudah mula berkongsi megi aku berempat, kami sudah mula berlari-lari ke toilet berempat, kami sudah mula menyanyi berempat, kami sudah mula berkongsi pakaian berempat.

Auni yang aku sangkakan poyo, rupanya kadang-kadang ponteng kelas, rupanya mengelat bila ada aktiviti kolej, rupanya layan k-pop especially group Shinee. Lerr. Auni juga hanya membawa sebungkus megi setiap sem. Ima yang aku sangkakan budak KL yang berlagak, rupanya sangat penyayang, rupanya layan lagu jiwang, rupanya suka bercerita sehingga kadang-kadang kami berharap dapat mengatakan “Ima dah la Ima.” tapi aku terhibur jugak. Lin yang aku sangkakan manja, rupanya suka menjerit, rupanya sangat berdikari, rupanya sangat suka tersengih, rupanya sedikit lurus, Lin juga pandai bercerita.

Jujur aku katakan, aku seronok sepanjang kami bersama dan sekarang baru aku mengerti yang aku tidak akan dimakan ketika bergaul. Seronok rupanya ada teman-teman sebilik, dua tahun kami sebilik dan lagi setahun kami berlainan rumah. (nanti aku ceritakan perihal teman-teman serumah aku pulak). I loveeee yuhhhhh! Auni. Ima. Lin.


Kesimpulannya, aku telah menggunakan perkataan misalnya sebanyak dua kali dan aku telah menggunakan perkataan baru iaitu perihal.